Jumaat, 8 Julai 2011.
Selepas solat Jumaat, aku segera pulang ke rumah. Entah kenapa aku tak rasa nak kembali semula ke pejabat sementara aku di tingkat atas bangunan yang sedang diubahsuai tu. Termenung lagi di sofa lusuh yang carik seribu. Sendirian buat aku jadi murung. Tertekan dan terkilan mengenangkan nasib yang semakin tak menyebelahi aku. Badan rasa seram sejuk. Tak tau nak mengadu dengan siapa lagi. Aku terasa seolah semua orang di sekeliling aku dah tak percayakan kemampuanku lagi. Termasuk isteri dan adik-beradikku. Dah banyak kali aku jatuh. Takde siapa akan sanggup tolong aku lagi. Abang Zaidi pun masih membisu. Harap dia akan berikan perkhabaran baik nanti..
Tiba-tiba aku terima call dari Korie, adik aku. Panggilan yang buat aku rasa mahu rebah ke bumi!
"Abang.. ayah.. ayah dah meninggal." Katanya gugup dan tertahan-tahan. Aku terkelu. Ayah tak sakit apa-apa. Takkanlah.. tapi tak mungkin Korie nak buat lawak hal macam ni.
"Innalillah.. bila? macam mana??"
"Masa kat masjid tadi, ayah rebah sebaik angkat takbir pertama. Tak lama lepas tu ayah meninggal."
Ya Allah.. ayah.. takkan secepat ini ayah pergi.. lutut aku bergetar kuat sehingga aku terjelepok ke lantai. Seketika aku hanya memeluk lutut dengan fikiran yang tak keruan. Sedetik kemudian aku bingkas bangun. Aku telefon isteriku di pejabatnya. Aku kesat mata yang berkaca-kaca dan segera bersiap untuk pulang ke Jengka. Sepanjang jalan aku cuba bersikap setenang mungkin.
Ketika aku tiba, jenazah ayah sedang dimandikan. Kaum keluargaku semuanya sudah tiba kecuali adik perempuan aku yang tinggal di Johor. Aku cium dan peluk mak yang nampak tenang dan tabah menghadapi hakikat kehilangan ayah. Kemudian aku menerpa orang ramai yang sedang memandikan jenazah ayah. Perasan aku bergoncang kuat. Sedikit waktu lagi pasti aku menangis hiba! Tapi wajah ayah nampak sangat tenang. Tiada sedikitpun raut derita terlukis dijasadnya. Bibirnya sentiasa tersenyum kepada semua yang melihat jenazahnya. Aku raba wajah ayah. Aku jirus air perlahan-lahan di rambutnya. Ya, ayah terus tersenyum kepada kami. Membuatkan air mata aku tidak jadi melimpah ke pipi.
Berehatlah ayahanda.. aku redha kepergian ayahanda di hari dan waktu yang baik ini.. walaupun hajat ayah untuk ke tanah suci bersama emak tidak kesampaian.. namun tiada apa yang lebih didambakan oleh setiap hamba Allah yang beriman selain mati di dalam keimanan.. di dalam rumah tuhan.. tanpa penderitaan yang panjang.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar