Sabtu, 9 Julai 2011.
Jenazah Ayahanda telah selamat dikebumikan selepas solat Isyak malam tadi. Segalanya berjalan lancar dan tenang. Malah aku turut terharu melihat betapa ramai jemaah surau yang sama-sama menunaikan solat jenazah sehingga memenuhi segenap ruang. Sedangkan ayah bukanlah sesiapa. Cuma mungkin sikapnya yang suka membantu dan tidak pandai menyakiti hati sesiapa itu yang membuatkan orang ramai senang dengannya. Suasana menjadi sedikit sayu apabila adik perempuanku yang baru tiba dari Johor menerpa meratapi pemergian ayah saat kami mengusungnya ke van jenazah untuk dibawa ke tanah perkuburan. Namun segera ditenangkan oleh Kak Azma.
Petang yang syahdu. Majlis tahlil telah selesai. Aku duduk bersandar di dinding rumah. Beberapa ahli keluargaku turut berkumpul sambil berbicara tentang ayah. Lebih tepat lagi, tentang tindak-tanduk ayah sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya. Kata mak, semalam ayah mintak dibuatkan laksa.. tapi apabila siap, ayah cakap.. 'hangpa makanlah.. aku tak nak..' Mak rasa pelik sebab setahu mak, ayah memang sukakan laksa buatan mak, tapi tak terluah tanda tanya itu dimulut mak. Fikirnya, mungkin ayah mahu cepat-cepat ke masjid.
Mengimbas jauh sedikit, lebih 30 tahun dulu ketika masuk ke tanah rancangan FELDA ni.. ayah bersahabat baik dengan Pakcik Rani. Persahabatan mereka begitu erat sehingga rakan-rakan lain pernah berseloroh, '..di mana ada Rani, di situ ada Man. Macam Hang Tuah dan Hang Jebat (kebetulan waktu muda dulu ayah berambut panjang melepasi bahu). Entah-entah, mati esok pun sama-sama.'
Satu ketika mereka pernah terlibat dalam kemalangan akibat motor yang ayah tunggang dilanggar kereta dari belakang. Pakcik Rani terpelanting pengsan. Ayah juga tersungkur ke tanah. Merangkak ayah mendapatkan Pakcik Rani. Segera ayah meriba sahabatnya itu yang berlumuran darah sementara menantikan bantuan tiba. Berbulan-bulan lamanya Pakcik Rani terlantar di hospital dan akhirnya pulih seperti sediakala.
Dan memang telah ditakdirkan.. seperti kisah Jebat yang mati di ribaan Tuah, begitulah ayah di penghujung hayatnya, beliau terkulai kaku di ribaan Pakcik Rani sebaik Pakcik Rani mengajarnya mengucap. Pakcik Rani tentu saja tak menyangka.. akhirnya ayah yang pergi dulu, sedangkan dia yang berbulan terlantar koma!
"Zatt.. hang dah berhenti kerja, kan? Apa kata hang balik duduk sini ja.. boleh tengok-tengokkan ladang sawit peninggalan ayah.. mak pun tinggal sorang-sorang dah lepas ni.." Tiba-tiba Kak Azma mencadangkan begitu memecah sunyi. Aku tersentak. Tak tau nak jelaskan macam mana.. Memanglah aku risaukan mak yang pasti kesunyian tanpa ayah.. dan ladang kelapa sawit ayah juga perlukan seseorang untuk menguruskannya. Kalau aku masih bujang, pulang ke kampung mungkinlah jalan penyelesaian terbaik untuk lari dari segala kemelut permasalahan aku yang bertimpa-timpa sepanjang berada di KL. Tapi aku ada keluarga di sana. Isteriku juga sedang membina kerjayanya. Aku sendiri sedang berhempas-pulas memulakan semula bisnes printing yang satu ketika telah aku lempar jauh-jauh dari sanubari aku. Kalau aku pulang ke kampung, secara peribadinya aku telah tewas dalam perjuangan aku selama ini. Zamir tentu hampa. Kini dia hanya bergantung kepada aku untuk lakukan sesuatu. Sedang aku sendiri bagai bergantung pada bayang-bayang harapan yang kabur.
"Kat KL nu sara hidup tinggi.. kalau hang dok sini, duit jual sawit pun dah jenuh makan. Rumah tak payah bayaq, tinggal bayaq duit kereta ja.. Mak dengaq hang susah sangat kat sana." Mak juga berharap aku pulang. Ini menjadikan aku semakin serba-salah. Semakin banyak kegagalan yang aku hadap, semakin mereka tak mengerti perjuangan yang aku harap. Aku terus diam membisu. Bimbang sepatah yang keluar dari mulutku nanti melukakan hati emak yang sedang bersedih atas pemergian ayah.
Tuhan.. tunjukkanlah aku jalan.. semoga setiap kesulitan dan kekusutan ini dapat Kau permudahkan. Aku semakin lemah dan goyah. Kau perkasakanlah hati ini..
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar