Ahad, 10 Julai 2011.
Wajah isteri aku redup muram bagai awan kelabu yang menakung beban air berlebihan. Menanti masa untuk menitiskan hujan keresahan. Aku tahu apa yang bersarang dalam fikirannya. Namun baik dia mahupun aku sendiri rasa serba-salah. Patutkah aku membuat keputusan mengheret anak isteriku pulang ke desa permai ni? Mengurus ladang kelapa sawit seluas 10 ekar peninggalan ayah sambil perlahan-lahan memulakan sekali lagi perniagaanku di sini.. Secara teorinya aku mampu menguruskan kedua-duanya serentak. Di desa ini tempat aku berkubang bergelumang selut-lumpur. Di Kuala Lumpur sana tempat aku belajar melalui proses kedewasaan. Dan aku yakin aku boleh hidup di mana sahaja kaki ini berpijak. Tapi apakah isteri aku sanggup? Betapapun dia lahir nun jauh di Tawau sana. Tapi dia telah melaui proses asimilasinya di tengah kota batu Kuala Lumpur. Semua yang dia kenal dan sayang ada di KL. Aku risau juga takut dia tak mampu sesuaikan diri dengan kehidupan di desa kelak. Melihatkan wajahnya yang mendung membuatkan aku semakin bingung.
Beberapa hari kebelakangan ni aku banyak berfikir. Sekaligus membuatkan aku murung dan kurang bercakap. Emosi jadi tak stabil serta mudah nak marah. Dengan mesin GTO berharga RM40 ribu yang baru dibawa lari.. pemergian ayah yang mengejut.. harapan Zamir serta harapan keluargaku.. dan sekarang isteriku pula bermuram-durja bimbangkan keputusanku yang mungkin tak menyebelahinya. Segalanya buat aku rasa nak menjerit kuat-kuat. Tapi jeritan itu hanya terbenam jauh dalam laut perasaan aku yang bungkam kaku. Membiarkan semua orang tertanya-tanya akan keputusanku. Termasuklah mak yang paling berharap aku kembali ke pangkuannya.. Lebih-lebih lagi aku ini anak kesayangannya. Sekurang-kurangnya, begitulah yang aku rasa selama ini.
'Sayang.. abang minta maaf kalau tak mampu hadiahkan Samsung Galaxy SII yang sayang harapkan.. Bisnes abang tak jadi lebih baik seperti yang abang jangkakan. Tapi sayang tahukan.. hari ni hari jadi abang. Abang tak minta apa-apa hadiah pun. Cukuplah kalau sayang berikan abang senyuman paling ikhlas.. agar terawat luka berpanjangan di hati ini.' Batin ini hanya bermonolog sendiri. Sedang tak seorang pun yang mengerti..
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar