Jumat, 26 Agustus 2011

Tujuh Tengkujuh.. (10)

12 Julai 2011, Selasa.

Separuh semangat aku terbang pergi sebaik melihat bilik pejabatku dipecah masuk dan disamun semalam. Sempat jugaklah aku mengamuk dengan memaki hamun pekerja-pekerja Indonesia yang menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian pada petangnya. Namun amarahku itu hanya membuatkan aku semakin lelah mengharungi bulan pertama aku kembali berniaga. Zamir juga nampak tertekan dan tak ceria. Aku tahu, dia masih rasa kesal kerana menyebabkan aku berhenti kerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat kawalan serangga. Sedangkan itu adalah keputusanku sendiri, biarpun keputusan itu menyebabkan komisen jualanku bernilai ribuan ringgit ghaib begitu sahaja.

"Zatt, saya ada perkara mahu cakap.. tapi U jangan cerita sama Abang Zaidi ya.." Wajah Zamir agak serba-salah untuk berkata-kata. Seakan ada perkara berat yang menyekat kerongkongnya.

"Apa dia? Abang Zaidi tarak mau kasi pinjam duit ka?"

"Bukan itu.. lagi teruk! Dia betul-betul busuk punya orang." Zamir merenung tepat mata aku membayangkan apa yang ingin disampaikannya adalah serius. Aku mula tak sedap hati tapi tak dapat mentafsir maksudnya.

"Hari U balik kampung.. dia tiap-tiap malam ajak saya jumpa sama dia."

"Eh, baguslah.. kot dia ada nak bagi projek baru.." Aku cuba sedapkan hati sendiri walaupun aku sedar itu bukanlah alasannya.

"Tarak.. dia mahu beli mesin GTO satu bijik, cash! Kemudian dia mahu fifty-fifty."

"Kalau macam tu bagus sangat-sangat la.. tak payah kita buat loan. Apasal? Dia nak share dengan kita ke? Tak cukup ke dividen yang kita janji kat dia hari tu?"

"Itulah saya cakap, dia busuk punya orang.. mulut saja manis, tapi hati tarak bersih. Greedy!"

"U cakap terang-terang Zamir.. Saya tak fahamlah!"

"Begini.. dia punya plan, dia beli itu mesin cash. Kemudian dia suruh saya running. Untung bahagi dua, dia 50 percent, saya 50 percent. Kemudian saya tanya sama Abang Zaidi, Zatt macam mana? Dia kata; 'jangan kasi tau sama dia la.."

Aku telan liur. Terkejut dengan cerita Zamir. Tak sangka diam-diam Abang Zaidi ada rancangan untuk memisahkan aku dengan Zamir sekaligus menabur pasir dalam periuk nasik aku.

"Dah tu, U kata apa?"

"Saya kata saya tak mau.. kalau dia mahu tolong, kasi kita pinjam wang, bulan-bulan kita kasi bayar sama dia. Tapi kalau partner dengan dia, sorry. Saya takkan biar U satu orang susah."

Aku tarik nafas dalam-dalam. Aku tepuk bahu Zamir.

"Tuhan mahu uji keikhlasan kita. Sekaligus Dia tunjukkan siapa kawan, siapa haiwan. Kalau kita boleh harungi saat susah ni sama-sama. Kita juga pasti dapat kecapi kejayaan dengan penuh rasa percaya kepada satu sama lain di kemudian hari." Aku cuba bagi motivasi pada Zamir.

"Orang macam tu, bagi saya satu kilo emas pun saya takkan kerjasama dengan dia. Kalau dengan bangsa sendiri pun dia boleh fikir mahu cantas, mahu tendang keluar.. Sikit hari tentu dia juga tak teragak-agak kenakan saya."

"Takpelah Zamir, kita cari jalan lainlah untuk dapatkan modal beli mesin."  Aku termenung..

Rambut sama hitam, hati pun hitam. Tuhan.. banyak lagi ke Engkau nak uji kesabaran hamba-Mu yang lemah ini.. Aku tertanya-tanya jauh di sudut hati yang paling suram.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar